Kenyataan Amiruddin tentang GST dimanipulasi - KPJ
JOHOR BAHRU 9 Mei - KPJ Healthcare Bhd. (KPJ) kesal tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memetik kenyataan Pengarah Urusannya, Amiruddin Abdul Satar dan memuatkan dalam poster kempen menentang penguatkuasaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang disebarkan dalam media sosial.
Unit Perhubungan Korporat KPJ berkata, poster itu turut memaparkan wajah Amiruddin selain memuatkan logo KPJ dan logo anti GST yang dilakukan sewenang-wenangnya tanpa mendapat kebenaran beliau dan KPJ.
Sehubungan itu, KPJ kesal tindakan tersebut yang menyebabkan kekeliruan kepada orang ramai dan pengguna media sosial sehingga memperlihatkan seolah-olah KPJ yang merupakan anak syarikat sebuah perbadanan kerajaan negeri bersifat anti-GST.
"Selain itu, kini muncul persepsi negatif dalam kalangan orang ramai dan industri bahawa KPJ menyokong gerakan anti-GST.
"Justeru, ingin ditegaskan bahawa KPJ bukan badan korporat yang anti-GST, apatah lagi terlibat atau menyokong gerakan menentang sistem percukaian baharu itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 21 April lalu, KPJ telah menganjurkan sesi minum petang bersama pengamal media di ibu negara dan Amiruddin ada membuat kenyataan mengenai GST yang disiarkan beberapa media tempatan.
Bagaimanapun, sebahagian kenyataan beliau telah dimanipulasikan dan dimuat naik dalam media sosial sebagai propaganda anti-GST sehingga mencetuskan pelbagai kritikan dan persepsi negatif terhadap Amiruddin serta KPJ.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140509/ek_12/Kenyataan-Amiruddin-tentang-GST-dimanipulasi---KPJ#ixzz31R9RlHl1
© Utusan Melayu (M) Bhd